Menurut Seels & Richey (1994) terdapat lima domain dalam technologi instruksional seperti yang berikut:
1. Rekabentuk
2. Pengembangan
3. Penggunaan
4. Pengurusan
5. Penilaian
3.1 Domain Rekabentuk
Rekabentuk merupakan satu proses dalam menentukan ciri-ciri serta keperluan pembelajaran. Di samping menentukan kompenen sistem pengajaran, rekabentuk juga mengambil kira perubahan sistem dan pengaruh alam sekeliling (Tessmer, 1990). Dalam domain rekabentuk ini pula dipecahkan kepada empat bidang utama iaitu rekabentuk sistem pengajaran, rekabentuk strategi, rekabentuk mesej dan ciri-ciri pelajar.
3.1.1 Rekabentuk Sistem Pengajaran
Rekabentuk sistem pengajaran merupakan satu tatacara yang sistematik dan terancang untuk pelbagai tujuan. Antaranya ialah menganalisis di mana guru menentukan apa yang akan diajar kepada murid-murid. Seterusnya merekabentuk iaitu guru menentukan spesifikasi pengajaran. Fasa menilai pula, guru menjalankan penilaian menyeluruh terhadap semua aspek pengajaran sebelum menjalankan proses membina dan menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran. Semasa peringkat melaksana, guru perlu menggunakan pelbagai bahan dan kaedah dalam menyampaikan pengajarannya. Akhir sekali guru akan menilai keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankannya bagi menentukan keberkesanan dan keupayaan pengajarannya.
3.1.2 Rekabentuk Strategi
Rekabentuk strategi ialah spesifikasi dalam memilih serta menyusun peristiwa dan aktiviti pembelajaran dalam suatu unit pelajaran (Seels & Richey, 1994) manakala bagi Leshin, Pollock dan Reigeluth (1991) pula mengatakan bahawa rekabentuk strategi sebagai penentuan urutan, kandungan, domain pembelajaran, kaedah dan media yang peling sesuai untuk mengukuhkan proses pembelajaran. Dick dan Cary (1991) mengatakan rekabentuk strategi bukan sekadar memilih dan menyusun aktiviti pengajaran malahan mencakupi kompenen umum suatu set bahan pengajaran serta prosedur yang akan digunakan untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Yusup (1997) berpendapat bahawa rekabentuk strategi merupakan perancangan dan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran secara mikro.
3.1.3 Rekabentuk Mesej
Rekabentuk mesej membawa maksud cara dan format mengenai apa yang paling berkesan untuk menyampaikan mesej kepada murid-murid (Grabowski, 1991). Bagi Fleming dan Levie (1993) pula mengandaikan rekabentuk mesej sebagai pola-pola simbol yang akan mempengaruhi perilaku kognitif, efektif dan psikomotor murid-murid selepas pengajaran dan pembelajaran.
Rekabentuk mesej memberikan tumpuan kepada perkara yang sangat kecil seperti visual, urutan pelajaran, halaman dan rekabentuk skrin komputer yang terdapat pada suatu unit pelajaran. Ia juga merupakan satu medium yang bersifat static, dinamik atau kombinasi. Dalam erti kata tugasan pembelajaran, rekabentuk mesej berperanan dalam pembentukan konsep, sikap, pembinaan kemahiran atau pun penghafalan sesuatu konsep pelajaran oleh murid-murid.
3.1.4 Ciri-Ciri Pelajar
Dalam bidang ini, guru akan menyelidiki setiap aspek pelajar seperti latar belakang, kemahiran, pengetahuan dan sikap sedia ada yang mana akan memberikan impak terhadap proses pembelajaran. Guru menyedari bahawa pengetahuan dan sikap sedia ada para pelajar akan mempengaruhi pencapaian mereka pada akhir sesi pembelajaran. Ciri-ciri pelajar menggunakan kajian motivasi untuk tujuan mengenalpasti pembolehubah yang akan digunakan dan seterusnya menunjukkan cara pembolehubah tersebut digunakan bagi meningkatkan proses pembelajaran.
3.2 Domain Pengembangan
Domain pengembangan juga dikenali sebagai domain pembinaan iaitu satu proses untuk menterjemahkan spesifikasi rekabentuk kepada bentuk fizikal produk yang melibatkan proses rekabentuk, bina, guna dan nilai. Domain pengembangan mempunyai empat kategori bahan iaitu teknologi cetak, teknologi pandang dengar, teknologi berasaskan komputer dan teknologi bersepadu.
Teknologi cetak terdiri daripada teks atau tulisan dan juga bahan dalam bentuk visual. Teknologi bahan pandang dengar pula terdiri daripada pita audio, slaid, filem jalur, transparensi, pita video atau filem iaitu visual bergerak, CDI, VCD, dan CD-ROOM. Bahan teknologi berasaskan komputer terdiri daripada bahan yang berasaskan mikroprosesor dan bahan berbentuk digital manakala teknologi bersepadu melibatkan bahan multimedia dan hiperteks atau hipermedia.
3.3 Domain Penggunaan
Merupakan domain yang menggunakan proses iaitu kaedah dan model pengajaran, sumber iaitu bahan dan perkakasan media serta alam sekeliling untuk tujuan pembelajaran. Empat kategori domain penggunaan iaitu pertama, penggunaan media dan kaedah iaitu cara sistematik dalam penggunaan bahan, kedua, penyerapan atau penerimaan inovasi iaitu proses penerimaan terhadap sesuatu perubahan, ketiga, pelaksanaan iaitu proses menggunakan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran dan akhir sekali ialah instituianalisasi iaitu penerimaan dan pengekalan.
3.4 Domain Pengurusan
Domain pengurusan merupakan domain kawalan bagi teknologi instruksional melalui perancangan, penyusunan, penyelarasan dan penyeliaan. Empat kategori domain pengurusan yang terdiri daripada pengurusan projek, pengurusan sumber, pengurusan sistem penyampaian dan pengurusan maklumat. Pengurusan projek melibatkan perancangan, pemantauan dan pengawalan terhadap projek rekabentu dan pembinaan bahan pengajaran. pengurusan sumber melibatkan perancangan, pemantauan, dan pengawalan ke atas perkhidmatan bantuan sumber serta perkhidmatan lain-lain media. Pengurusan sistem penyampaian pula melibatkan perancangan, pemantauan dan pengawalan ke atas kaedah serta media. Manakala pengurusan maklumat melibatkan perancangan, pemantauan dan kawalan ke atas pengumpulan, pemindahan dan pemprosesan bahan-bahan teknologi instruksional.
3.5 Domain Penilaian
Domain ini adalah proses untuk menentukan kesesuaian dan keberkesanan program pendidikan di mana ia di bahagikan kepada empat kategori yang utama iaitu penilaian analisis masalah seperti ujian dan peperiksaan, penilaian rujukan kriteria iaitu penguasaan unit pelajaran, penilaian formatif yang bertujuan untuk mengesan dan menambahbaik pengajaran dan pembelajaran dan akhir sekali ialah penilain formati bagi membuat keputusan untuk menilai keseluruhan pencapaian murid pada setiap semester atau pada tahun semasa. Domain penilaian dilaksanakan dengan menggunakan aplikasi-aplikasi penilaian seperti penilaian pencapaian pelajar, penilaian penggunaan media, penilaian rekabentuk dan pembinaan bahan dan penilaian program atau projek media.
4.0 KEPENTINGAN DOMAIN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL
Setiap pecahan domain yang dinyataka tadi sememangnya mempunyai fungsi dan kepentingan kepada semua guru dan juga murid. menurut Seels dan Richey (1994), domain tersebut menjadi asas dan struktur kepada bidang teknologi instruksional. Menurut Snelbecker (1974) pula, domain-domain tersebut merupakan kurikulum yang memberi tumpuan kepada apa yang hendak diajar manakala instruksional pula memberi tumpuan kepada bagaimana hendak mengajar. Selain daripada itu, domain berperanan penting dalam menghasilkan pengajaran atau latihan dan bahan pengajaran yang sistematik dan berkesan. Bahan pengajaran yang direka bentuk dan dibina perlu dinilai, diguna dan diurus agar dapat meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran (Yusup, 2002). Dalam latihan perindustrian, ia mampu meningkatkan prestasi pekerja dan produktiviti. Dalam bidang ketenteraan, domain teknologi instruksional dapat meningkatkan kemahiran anggota tentera menggunakan teknologi canggih (Yusup, 2002).
5.0 PERANAN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL DALAM AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERKESAN
Menurut Abdul Rahim Mohd Saad (1996), abad ke-21 mengundang pelbagai cabaran dan perubahan berkaitan dengan keperluan pendidikan dan latihan di sekolah, institusi pengajian tinggi, industri dan sektor perdagangan. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi multimedia telah meninggalkan impak yang besar dan meninggalkan impak yang besar sehingga menimbulkan dua persoalan utama tentang peranan teknologi pengajaran iaitu kesesuaian isi kandungan program pendidikan dan latihan masa kini iaitu kesesuaian kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada berbanding dengan teknologi masa kini.
Tiga peranan utama teknologi instruksional. Pertama, mengubah peringkat membuat keputusan. Di negara kita sukatan pelajaran ataupun kurikulum sekolah telah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Sukatan pelajaran tersebut digubal berlandaskan aras kemahiran murid mengikut peringkat umur. Pada peringkat perancangan sukatan pelajaran, perancang kurikulum akan bekerjasama dengan pereka pengajaran untuk menentukan penggunaan teknologi instruksional dalam kurikulum sekolah. Sebelum ini, penggunaan media dirancang semasa kurikulum dilaksanakan. Ringkasnya, peranan teknologi instruksional berperanan besar dalam merubah kebiasaan yang telah dilaksanakan sebelum ini. Sistem pendidikan kini lebih teratur dan mampu melahirkan pembelajaran yang berkesan kepada semua murid dalam masa yang singkat.
Kedua, teknologi instruksional mengubah sistem atau pendekatan pendidikan di mana ia boleh mempengaruhi sistem atau pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran seperti menukar sistem pendidikan konvensional (bersemuka), menerima sistem pembelajaran jarak jauh menggunakan bahan gaya pos dan kelas telesidang, sistem kelas terbuka menggunakan sistem pengajarn individu dan pengajaran peribadai atau sisetm sekolah bebas menggunakan sistem belajar sendiri dan pembelajaran bebas menggunakan perkhidmatan jaringan internet seperti WWW, LAN, CWN serta banyak lagi.
Peranan teknologi instruksional yang ketiga ialah mengubah pengalaman pembelajaran. Penggunaan atau aplikasi teknologi instruksional secara teratur dapat menolong setiap murid mendapatkan pengalaman pembelajaran yang khusus bagi menguasai sesuatu perkara. Contohnya, kemahiran berfikir temasuk kemahiran berfikir kreatif, membuat keputusan yang wajar, menyelesaikan masalah dan membayangkan sesuatu. Kemahiran berfikir berfungsi dalam semua domain kerana setiap domain melibatkan aspek penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Oleh itu amat penting walaupun ia tidak terdiri sebagai satu domain yang tersendiri. Selain daripada itu, teknologi instruksional yang dijalankan dengan teliti dapat mengubah ciri-ciri keperibadian yang mulia seperti jujur, bertanggungjawab, mahir bergaul dan mahir mengurus (Abdul Rahim Mohd Saad, 1996).
5.1 Teknologi Instruksional Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Formal.
Pendidikan formal dapat ditakrifkan sebagai satu proses pembelajaran yang dilaksanakan secara rasmi mengikut sistem yang telah ditetapkan oleh sesebuah kerajaan. Pendidikan formal berlaku di dalam sesebuah institusi yang berstruktur dari segi kronologi dan hierarki. Contoh pendidikan formal ialah pendidikan di sekolah, Institut Perguruan, Kolej Kejururawatan, Universiti dan sebagainya. Proses pendidikan formal akan berakhir dengan penganugerahan sijil, diploma dan ijazah. Beberapa kepentingan teknologi instruksional dalam pembelajaran formal yang akan saya fokuskan pada sub topik seterusnya.
5.1.1 Menggalakkan Pendekatan Kolaboratif.
Pembelajaran kolaboratif memerlukan penglibatan semua ahli kumpulan dimana ia memerlukan idea yang mencabar, menyokong dan menambah baik sesuatu idea sehingga mencapai persetujuan kumpulan. Melalui pendekatan ini, murid-murid akan mengumpul idea atau data, berkongsi pengalaman, berbnicang sesama mereka seterusnya menyelesaikan masalah bersama. Setiap ahli kumpulan perlu memberikan komitmen semasa melaksanakan tugas yang diberi serta sedia untuk saling membantu untuk meningkatkan prestasi akademik mereka.
5.1.2 Meningkatkan Pencapaian Akademik Murid
Kajian menunjukkan keberkesanan teknologi instruksional melalui perisian pengajaran dari sudut peningkatan pencapaian murid. Kajian oleh North Central Regional Educational Laboratory, Amerika Syarikat (NCREL), merumuskan bahawa penggunaan perisian pengajaran dalam teknologi instruksional menunjukkan kesan positif terhadap pencapaian murid serta dapatan markah yang tinggi dalam peperiksaan (NCREL, 2002) terutamanya terhadap murid lemah (Newby et al., 2000).
5.1.3 Menggalakkan Persekitaran Pembelajaran Positif
Pengaplikasian teknologi instruksional secara berkesan dapat merangsang persekitaran pembelajaran yang positif serta dapat menarik minat murid. teknologi terkini seperti penggunaan laptop, tayangan slaid dapat merangsang perhatian murid secara optimum jika dilaksanakan dengan teratur. Guru perlu bijak dalam memilih pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan dan sesuai dengan kepelbagaian personaliti murid.
5.2 Teknologi Instruksional Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Tidak Formal
Pembelajaran tidak formal merupakan pembelajaran yang tidak dirancang dan terancang serta tidak disedari. Individu mengalami pembelajaran sepanjang hayat melalui interaksi dengan ibubapa, adik-beradik, rakan sebaya dan ahli masyarakat atau dari pekerjaan dan aktiviti sosial seperti lawatan, pendedahan kepada peristiwa semasa melalui media massa seperti buku, majalah, surat khabar, radio, televesyen dan sebagainya. Pembelajaran tidak formal boleh berlaku di mana-mana sahaja pada setiap masa.
5.2.1 Pembelajaran Melibatkan Pelbagai Deria
Tanpa disedari, murid-murid sebenarnya melakukan pembelajaran secara tidak formal iaitu di luar waktu persekolahan. Pendidikan menerusi perisian pengajaran dalam teknologi instruksional dapat menggerakkan setiap deria murid iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau untuk terlibat sama dalam proses pembelajaran. Hal ini bermaksud deria penglihatan, pendengaran, sentuhan dan minda seseorang murid itu akan tertumpu dan terlibat secara aktif dalam proses tersebut (Vaughan, 1998). Penglibatan lebih dari satu deria membawa impak positif terhadap proses pembelajaran. Pembelajaran yang menggunakan satu deria sahaja adalah kurang berkesan berbanding dengan pembelajaran menggunakan pelbagai deria (Neo & Neo, 2001).
5.2.2 Menggalakkan Pembelajaran Kendiri.
Dengan menggunakan perisian teknologi instruksional, murid berupaya untuk menyediakan platform pembelajaran kendiri dan juga jadual belajar yang seuai dengan mereka. Pembelajaran kendiri melalui perisian pengajaran adalah lebih baik berbanding dengan kaedah-kaedah tradisional dimana murid-murid boleh mengawal pembelajaran mereka berdasarkan kepada tahap kemampuan dan kesesuaian sendiri.
5.2.3 Kaedah Belajar Pelbagai
Kepelbagaian kaedah belajar yang digunakan mampu meningkatkan pencapaian murid dalam akademik. Perisian pengajaran dalam teknologi instruksional membolehkan proses pencarian isi pelajaran oleh murid dapat dilakukan dengan cara yang mudah difahami serta lebih menarik berbanding dengan hanya menggunakan buku atau media lain serta mampu memenuhi strategi belajar pelbagai variasi (Ellis, 2004). Setiap individu mempunyai corak pembelajaran yang berbeza. Kaedah pembelajaran tradisi tidak dapat memenuhi corak pembelajaran yang berbeza tersebut berbanding kaedah teknologi instruksional.
6.0 PENUTUP
Berdasarkan andaian dan definisi-definisi, komponen definisi serta latar belakang sejarah definisi teknologi pembelajaran yang telah saya perolehi sepanjang menyiapkan tugasan ini, nampaknya teknologi pemebelajaran akan terus mengalami proses penambahbaikan atau dalam erti kata yang lain menuju penyempurnaan pada masa-masa akan datang. Teknologi pembelajaran akan dipandang sebagai alat kepada sistem yang berorientasikan pada teori dan amalan, daripada hasil menuju ke proses dan hasil, dan akhirnya melalui perjalanan evolusi. Dewasa kini teknologi pembelajaran telah menjadi
Seiring dengan perkembangan dan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang semakin pesat, khususnya dalam bidang pendidikan, psikologi dan komunikasi maka tidak mustahil pada masa hadapan, teknologi pembelajaran akan semakin terus berkembang dan semakin kukuh dalam menjadi suatu disiplin ilmu dan profesion yang mampu pergi lebih jauh untuk memberikan manfaat bagi pencapaian keberkesanan dan kecekapan pembelajaran.
Walaupun demikian, harus diakui bahawa perkembangan bidang dan profesion teknologi pembelajaran di negara kita sehingga kini masih boleh dikatakan belum menyeluruh, baik dalam hal reka bentuk, pembangunan, penggunaan, pengurusan, dan penilaian. Oleh yang demikian, usaha yang jitu dan bersungguh-sungguh adalah diperlukan dalam memperjuangkan teknologi pembelajaran daripada semua pihak baik dalam kalangan ahli akademik, penyelidik dan juga pengamal pendidikan.
(2,698 patah perkataan)
BIBLIOGRAFI
AECT (1977). The definition of educational technology. Washington DC:AECT
Fleming, M. & Levie, H. (1993). Instructional message design (2nd ed.) New Jersy:
Educational Technology Publications.
Gagne’ R., Briggs, L. & Wager, W. (1992). Principles of instructional design,
(5th ed.). New York: Holt, Rinehart and Winston.
Heinich, Molenda, Russell & Smaldino. (1999). Instructional media and technologies for learning. (6th ed). Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hill.
Martin, B. (1997). Media and IT (Instructional Technology) as part of education
(part 2). Educational Media International, 34 (2), pg 103-106.
Mohamed Hisyam bin Mohd Hashim. (2006). Interaksi dalam talian menggunakan
LMS: Satu kajian kes. Tesis Ph. D, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Reigeluth Charles M. (1983). Instructional Design – Theories and Models: An
Overview of their Current Status. New Jersy: Lawrence Erlbaum Associates
Inc.
Roblyer, M.D., Edwards, J. & Havriluk, M.A. (1997). Integrating educational
Technology into teaching. Upper Saddle River, NJ: Prentice Hill.
Seels, B. & Richey, R. (1994). Instructional technology: The definition and domains
Of the field. Washington DC; AECT.
Yusuf Hashim. (1998). Teknologi pengajaran. Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti.
Wan Zah Wan Ali (2000). Memahami pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications
No comments:
Post a Comment