Thursday, 23 June 2016

Perkembangan kanak-kanak (Motor kasar dan motor halus)

MOTOR HALUS
Perkembangan motor didefinisikan sebagai proses yang mana perlukan bagi membentuk cara mereka melakukan gerakan. 
Perkembangan motor yang baik bukan sahaja penting bagi kanak-kanak membuat gerakan. Perkembangan motor juga merupakan keperluan asas bagi pembelajaran seorang kanak-kanak.  Semua aktiviti termasuk manipulasi mimik muka melibatkan penggunaan motor halus.
Kemahiran motor halus juga melibatkan pergerakan manipulatif. Pergerakan ini memerlukan kanak-kanak mengawal penggunaan anggota badan mereka seperti tangan dan kaki.  Misalnya kebolehan kanak-kanak untuk memegang, membuka dan melepaskan gengaman. Malahan aktiviti seperti melambaikan tangan atau membaling objek juga dapat mengembangkan motor halus kanak-kanak tersebut.
Tansley (1967) menyatakan pemahaman kendiri kanak-kanak tentang anggota badan dan kebolehan gerakan badan mereka berkait rapat dengan apa yang mereka  rasa selesa dengan diri mereka. 

MOTOR KASAR
Kanak-kanak yang sedang membesar, misalnya seawal umur 3 tahun perlu diberi aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan mereka. Aktiviti ini akan dapat menggalakkan pembinaan kekuatan otot, keseimbangan, dan sokongan tubuh badan kanak-kanak.  Selain itu, aktiviti ini juga akan merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti berbaring, meniarap, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar kanak-kanak ini ( Doherty & Brennan, 2008).
Kemahiran motor kasar pada tangan melibatkan kebolehan kanak-kanak untuk berpaut dan memegang dengan stabil. Kanak-kanak juga akan cuba untuk memijak secara tetap. Aktiviti ini akan menguatkan otot kaki kanak-kanak. Selain itu, mereka juga akan cuba menggunakan bahagian badan dan mengubah kedudukan badan untuk memastikan mereka dapat memanjat.  
Melalui aktiviti seperti ini juga kanak-kanak akan mengembangkan kemahiran mereka untuk mengawal keseimbangan badan. Aktiviti seperti ini membolehkan kanak-kanak menggunakan bahagian anggota badan mereka untuk mengawal keseimbangan. Mereka juga akan belajar bagaimana mengawal keseimbangan di tempat yang rata, di atas palang,  atau semasa memanjat. Menurut Horvat et.al. (2007) kebolehan motor termasuk keseimbangan, kawalan postur badan, agility, koordinasi badan, koordinasi mata-anggota badan, dan kekuatan dan kelenturan yang diperlukan untuk menunjukkan kebolehan motor anggota badan.
Pergerakan badan dari satu tempat ke tempat yang lain (pergerakan locomotor) juga dapat mengembangkan motor kasar kanak-kanak. Contohnya kanak-kanak dikehendaki untuk merangkak atau melompat seperti arnab. Aktiviti ini akan mengembangkan penggunaan motor kasar.  Kanak-kanak akan mengembangkan kebolehan pergerakan fizikal dalam aktiviti seperti ini. 

CONTOH AKTIVITI MOTOR KASAR DAN MOTOR HALUS
MOTOR HALUS
MOTOR KASAR
Bermain pasir
Berjalan (lurus atau bengkang-bengkok)
Mengikat tali kasut
Berkawad seperti askar
Memasang butang baju
Berlari dan berhenti mengikut arahan
Mengguna sudu dan garpu
Melompat setempat
Membentuk objek dari plastisin
Melompat seperti katak
Memotong kek atau mainan plastisin
Meniru gerakan haiwan (kucing, arnab, ular)
Melekatkan gambar
Memegang palang dan berhayun
Menggunakan ‘mouse’ komputer
Memanjat tempat mainan
Menulis nama
Membaling dan menangkap bola
Melorek atau mewarna gambar
Menendang dan menolak pelbagai objek seperti gelung rotan




Jawapan Soalan 2
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
Terdapat dua faktor yang utama atau dipanggil sebagai dominan yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak iaitu faktor baka dan faktor persekitaran.
Faktor baka
Baka atau dikenali juga sebagai keturunan merupakan ciri-ciri perwarisan yang dibawa oleh ibu bapa kepada anak-anak.Ciri-ciri yang ada adalah seperti warna kulit, saiz fizikal, warna mata dan lain-lain. Ini dibuktikan melalui kajian ahli-ahli psikologi seperti Arnold Gesell bahawa tidak ada dua orang individu mempunyai kadar perkembangan yang sama. Kesemua ciri-ciri ini melengkapkan kesempurnaan seseorang individu itu.Ibu bapa menurunkan baka ini kepada anak-anak mereka melalui gen-gen.
Pengaruh genetik atau faktor baka dikenali sebagai gen dimana ianya terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Ianya terletak di lokus tertentu pada kromosom, iaitu sejenis benda seni yang berbentuk panjang didapati dalam nukleus sel sperma (jantan) dan juga sel ovum (betina).Mengikut kajian para pengkaji, kromosom ini mengandungi bahan DNA dan RNA kemudian masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka.Bagi individu yang normal, kebiasaannya mempunyai 23 pasangan kromosom. Kemudian, semasa proses persenyawaan iaitu percantuman sel, sperma (gamet jantan) dengan sel ovum (gamet betina) bercantum membentuk zigot yang mula mendapat 23 kromosom daripada ibu bapa masing-masing. Untuk itu, proses pertukaran di antara kromosom daripada ibu dan bapa berlaku hingga menjadi ciri-ciri baka tersendiri yang akan diwarisi oleh bayi yang akan dilahirkan nanti.
Menurut Sheldon (1985),ciri personaliti seseorang adalah berkaitan rapat dengan bentuk tubuh badannya.Beliau menggolongkan bentuk tubuh badan manusia dalam tiga kategori,iaitu endomorf,mesomorfdan ektomorf,yang berkaitan dengan ciri-ciri personaliti yang berkenaan.
JENIS BENTUK BADAN
RUPA BENTUK BADAN
CIRI-CIRI PERSONALITI
Endomorf
Bulat dan lembut
Trait Viscerotonia:suka bergaul,cepat mesra,berlega,mengendur
Mesomorf
Otot-otot kuat,berkemahiran, psikomotor
Trait Somatotonia:tegas,agresif,suka riadah,sedia menghadapi cabaran
Ektomorf
Kurus dan tinggi
Trait Cerebrotonia:tidak suka bergaul,introvert,tidak suka aktiviti fizikal

Saiz badan adalah penetu keupayaan seseorang untuk melakukan sesuatu kerja.Keupayaan seseorang melakukan kerja akan membawa nilai prestij kepada diri seseorang.
Kebiasaannya baka yang baik adalah bermula daripada kesihatan ibu dan bapa yang sihat dan baik.Menurut hasil kajian ahli-ahli psikologi seperti Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Shieldon (1962) setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza.Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka.
Oleh itu, kesihatan ibu bapa sama ada dari segi mental mahupun fizikal amat penting bagi menjamin perkembangan bayi yang normal dan sihat. Sebagai contoh, ibu yang sedang mengandung hendaklah menjaga pemakanan serta mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Hal ini kerana ibu akan berkongsi makanan tersebut dengan bayi yang masih di peringkat prenatal. Sehubungan dengan itu, ibu ditegah untuk melakukan perkara yang boleh menjejaskan kandungan dan digalakkan minum minuman yang menyihatkan seperti susu dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kadang- kadang umur ibu juga merupakan salah satu faktor pertumbuhan dan pekembangan kanak-kanak itu mengalami masalah.Contoh ini juga merangkumi kepada faktor baka. Bagi ibu yang mengandung berusia lebih daripada 40 tahun berkemungkinan besar akan melahirkan bayi Sindrown Down. Hal ini kerana, penyakit ibu turut akan mempengaruhi anak yang bakal dilahirkan. Bayi yang mereka lahirkan itu akan berpotensi untuk abnormal berbanding ibu yang sihat. Usia ibu yang lanjut akan  menyebabkan mengalami keguguran akibat pembentukan janin yang kurang sempurna.
Tambahan pula, gen bapa juga memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak. Sperma yang sihat akan bergabung dengan ovum sekiranya kesihatan bapa itu terjamin. Jika didapati sperma yang disenyawakan itu mempunyai penyakit atau kuman seperti HIV, maka anak yang dilahirkan adalah berisiko untuk menghidap penyakit berbahaya seperti itu.Maka, faktor baka daripada ibu dan bapa amat penting dalam menjamin kesihatan anak yang baik kelak.
Faktor persekitaran
Faktor kedua pula ialah persekitaran atau nurture. Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak. Ini termasuklah pengalaman sebelum dan selepas lahir. Keadaan sebelum lahir merujuk kepada corak pemakanan, gaya hidup dan kesihatan si ibu. Keadaan selepas lahir pula adalah dipengaruhi oleh cara pemakanan, sosio ekonomi, tahap pendidikan, keluarga, rakan-rakan, ibadat, media dan persekitaran dunia.
Mengikut teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989), menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Menurut Bronfenbrenner, kelima-lima sistem ekologi ini adalah mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.
Mikrosistem merujuk kepada persekitaran terdekat dimana kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa dan interaksi secara langsung di dalam persekitaran itu.Sebagai contoh hubungan interaksi secara langsung antara kanak-kanak dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.Orang-orang dalam mikrosistem ini memainkan peranan yang tidak kurang penting di dalam perkembangan kanak-kanak.
Mesosistem pula merujuk kepada kaitan antara perhubungan dengan 2 mikrosistem. Hal ini bermaksud satu mikrosistem boleh mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Misalnya keadaan yang berlaku di rumah boleh mempengaruhi sikap atau tingkah-laku di sekolah dan sebaliknya.Mengikut Bronfenbenner juga, kanak-kanak yang diberikan galakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dalam mesosistem ini menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kanak-kanak yang kekurangan peluang.
Ekosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan kanak-kanak secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut.Misalnya sekolah dengan pasar raya.Kaedah pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasa oleh tempat membeli belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut.
Makrosistem pula adalah perkembangan individu yang melibatkan norma-norma, nilai dan amalan masyarakat itu sendiri. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrock,2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan dimana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting.
Kronosistem pula melibatkan perubahan perkembangan dalam suatu tempoh masa.Sebagai contoh situasi kanak-kanak hari ini lebih berfokus kepada permainan-permainan komputer jika dibanding dengan kanak-kanak pada zaman dahulu kala yang lebih gemar bermain di persekitaran rumah.
Secara keseluruhannya, kelima-lima aspek ini adalah saling berinteraksi antara satu sama lain. Setiap unsur-unsur ini mempengaruhi perkembangan individu, maka setiap individu pasti mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza.


Punca pelajar Lemah dalam pelajaran

Setiap individu dilahirkan berbeza-beza dengan individu lain. Terdapat murid yang lemah, sederhana dan pandai. Guru merupakan pendidik yang diamanahkan untuk mengajar murid menjadi insan yang berguna. Mereka ditugaskan menyampaikan ilmu yang berguna kepada anak bangsa bagi mencapai matlamat individu yang berketrampilan membangunkan negara dimata dunia dan melahirkan insan yang mempunyai peribadi yang mulia. Amanah seorang guru adalah menjalankan tugas merancang aktiviti pengajaran berdasarkan sukatan pelajaran, membimbing murid-murid supaya mereka berusaha belajar secara individu atau secara berkumpulan, menentukan corak penyusunan meja-kerusi untuk mewujudkan P&P yang sesuai, menjaga keselamatan murid-murid, membantu membentuk sahsiah murid-murid, menjadi contoh model sebagai teladan kepada murid-murid, memberi nasihat kepada murid-murid yang menghadapi masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan sebagainya yang berkaitan tentang profesion perguruan. Pencapaian rendah bermula pada peringkat akhir persekolahan rendah dan menjadi lebih stabil apabila pelajar tersebut memasuki peringkat menengah atas. Pelajar lelaki lebih cenderung berpencapaian rendah berbanding dengan pelajar perempuan. Pencapaian yang rendah merujuk kepada pelajar-pelajar yang :
 Tidak berusaha untuk memenuhi pencapaian mereka di sekolah;
 Tidak menumpukan perhatian dalam kelas atau menunjukkan minat terhadap proses pembelajaran;
 “Lupa” atau tidak berusaha untuk menyiapkan kerja rumah mereka;
 Tidak kisah mengenai kerja rumah mereka;
 Tidak menurut kata guru atau berselisihan faham dengan para guru; dan
 Tidak terlibat dengan proses pembelajaran dalam bilik darjah.
            Golongan kanak-kanak berpencapaian rendah kebanyakkannya golongan pelajar Melayu, khususnya pelajar miskin di luar bandar yang mempunyai kaitan dengan budaya belajar pelajar. Ia memperlihatkan antara empat faktor yang dikenal pasti mempengaruhi pencapaian akademik pelajar Melayu iaitu keluarga, pelajar, sekolah dan persekitaran. Pengaruh keluarga dalam status ekonomi, pegangan agama, budaya keluarga, sikap ibu bapa terhadap nilai pendidikan pada peringkat awal yang diperolehi di rumah menjadi asas kepada kejayaan pelajar pada peringkat persekolahan. Pengaruh persekitaran juga merupakan faktor yang mempengaruhi pembentukan sahsiah dan pencapaian pelajar. Di dalam sekolah juga guru memainkan peranan untuk kemudahan pembelajaran, persekitaran pembelajaran, pembiayaan pendidikan, sistem pendidikan, cara penyampaian pendidikan, program sokongan dan hubungan sekolah dan komuniti. Ciri-ciri golongan kanak-kanak berpencapaian rendah ialah faktor keluarga, sikap negatif terhadap pendidikan, masalah kemiskinan, masalah rumah tangga, kurang sokongan terhadap pendidikan, kurang hubungan antara keluarga dan sekolah, terpengaruh dengan budaya luar dan pengaruh rakan sebaya.
1. Faktor keluarga bermaksud Kasih sayang ibu bapa merupakan kunci kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. Pencapaian rendah bagi golongan kanak-kanak yang kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa menyebabkan prestasi anak-anak jauh lebih teruk berbanding kanak-kanak yang mempunyai perhatian lebih daripada ibu bapa mereka. Mereka akan merasa murung, menyendiri, susah dibawa bercakap dan melakukan perkara-perkara seperti merokok, main game di cyber café, lepak dan lain-lain lagi. Kasih sayang dan perhatian ibu bapa amat diharapkan oleh murid-murid bagi mencapai kejayaan hidup yang lebih bermakna.
2. Sikap negatif terhadap pendidikan bermaksud ibu bapa kurang memberikan perhatian pendidikan anak-anak terutamanya di rumah dimana mereka tidak mengambil berat pelajaran anak-anak tanpa menyemak buku anak-anak, bertanya kepada anak-anak apa yang di pelajari pada hari ini dan tidak datang ke sekolah mengambil keputusan anak-anak. Sikap begini yang tidak memberikan perhatian menyebabkan keciciran pelajaran murid berlaku.
3. Kemiskinan bermaksud “ketiadaan atau kekurangan makanan, sumber, kemudahan, standard, perkhidmatan dan aktiviti yang wujud secara umum atau menjadi kelaziman dalam masyarakat”. Pencapaian rendah mempengaruhi keadaan ekonomi keluarga yang tidak stabil untuk menampung keperluan murid apabila diperlukan. Ini menyebabkan murid-murid jauh ketinggalan dari kawan yang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik dengan perasaan rendah diri dikalangan murid-murid yang dikatakan perbezaan taraf hidup yang berbeza.
4. Masalah rumah tangga pula menyebabkan golongan kanak-kanak berpencapaian rendah berlaku. Ini disebabkan kanak-kanak berasa tertekan dari pertengkaran ibu bapa ketika berada di rumah yang menyebabkan mereka tidak tahan duduk di rumah kerana pertengkaran ibu bapa yang menyebabkan mereka tidak selesa belajar dan tidak ada keharmonian dalam rumah tangga.
5. Kurang sokongan terhadap pendidikan menunjukkan keluarga yang kurang memberi sokongan terhadap pendidikan anak-anak mereka, kurang mengawasi kemajuan pelajaran anak-anak, tidak menyemak kerja sekolah, menyerah tugas membantu pelajaran kepada anak yang lebih tua, dan lebih suka anak menolong kerja di rumah daripada bersekolah. Keluarga memaksa anak perempuan berkahwin bagi mengurangkan beban keluarga atau tidak menggalakkan anak perempuan belajar ke peringkat tinggi. Terdapat juga keluarga yang kurang memperuntukkan wang kepada pendidikan anak tetapi lebih mementingkan kebendaan, penjagaan status, dan hiburan.
6. Kurang hubungan antara keluarga dan sekolah bermaksud ibu bapa melepaskan tanggungjawab mendidik dan membimbing anak mereka kepada pihak sekolah, tidak menghadirkan diri apabila dipanggil untuk berjumpa pihak sekolah, meminta jiran mengambil keputusan anak-anak dan tidak melibatkan diri dalam persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG). Ibu bapa juga tidak mengendahkan surat dari pihak sekolah dengan tidak memberikan maklum balas tentang masalah pembelajaran atau ponteng sekolah anak-anak.
7. Terpengaruh dengan budaya luar bermaksud segala budaya yang terdapat di televisyen, media cetak, facebook (muka buku) dan internet boleh menyebabkan kemerosotan pencapaian murid jika tidak pandai membahagikan masa dan berfikiran lebih luas untuk menilai sesuatu perkara sama ada baik mahupun buruk. Jika murid dapat menilai sesuatu perkara dengan lebih mendalam dan tahu apa akibatnya mereka akan dapat membahagikan masa yang ada dengan sebaiknya.
8. Pengaruh rakan sebaya merupakan perkara yang lebih kukuh kepada murid-murid kerana mereka percaya kata kawan-kawan mereka kerana mereka mempunyai umur yang sama. Pengaruh rakan sebaya yang baik akan menjadikan murid itu bertambah baik tetapi pengaruh rakan sebaya yang tidak baik akan menyebabkan golongan kanak-kanak berpencapaian  rendah. Contoh pengaruh yang sering kali berlaku ialah merokok, ponteng sekolah, bergaduh, mencarut, mencuri dan sebagainya.

            Punca-punca pencapaian rendah di kalangan murid di sekolah ialah kurikulum yang kurang sesuai, tanggapan guru, implikasi ke atas instruksi, kemiskinan, dan status pendidikan pemulihan.
1. Kurikulum yang kurang sesuai bermaksud pihak negara melaksanakan kurikulum yang umum bagi semua sekolah tanpa mengambil kira sama ada sekolah tersebut terletak di kawasan pedalaman, perbandaran atau selainnya. Pelajar yang memasuki sekolah akan membawa bersamanya pengalaman yang dialaminya di rumah. Sekolah seharusnya berusahanya berusaha menyediakan kurikulum yang lebih sensitif yang dapat menggabungkan pengalaman kendiri pelajar dan konteks pembelajaran semasa. “ Sekolah tidak bertindak ke atas mereka, sebaliknya murid-murid bertindak ke atas sekolah melalui gaya hidup kolektif dan individu yang dibawa ke sistem persekolahan”. (Fuller & Clarke, 1994; Buxton, 2004, m.s. 1)
2. Tanggapan guru ialah tanggapan negatif serta jangkaan yang rendah terhadap golongan yang berpencapaian rendah dan melihat pelajar-pelajar ini sebagai golongan yang bermasalah dan menganggap bahawa mereka tidak dapat cemerlang dalam hidup. Tanggapan ini akan mempengaruhi pencapaian murid sekolah. Contohnya pelajar yang tidak kemas lebih cenderung menerima penilaian guru berbanding pelajar yang berpakaian kemas.
3. Guru kepada pelajar yang berpencapaian rendah wajar menggunakan instruksi aktif yang merangkumi aspek-aspek berikut:
 Penglibatan awal supaya ketersediaan para pelajar dan keperluan penglibatan intensif dapat ditangani
 Membentuk hasil pembelajaran yang jelas dan boleh diukur
 Menyaring murid supaya pemantauan berterusan dapat dijalankan
 Merancang aktiviti yang dapat menggalakkan pelajar supaya mereka memberi maklum balas dengan aktif
 Memberi maklum balas susulan yang positif
4. Kemiskinan sebagai “ketiadaan atau kekurangan makanan, sumber, kemudahan, standard, perkhidmatan dan aktiviti yang wujud secara umum atau menjadi kelaziman dalam masyarakat”. Kesan kemiskinan dikategorikan kepada tiga iaitu anggota keluarga yang besar atau memiliki ibu atau bapa tunggal; menerima pendapatan isi rumah yang rendah; serta menghuni dalam perumahan yang berkualiti rendah.
5. Status pendidikan pemulihan adalah penyesuaian kurikulum supaya dapat memenuhi keperluan pelajar berkemahiran rendah. Para guru perlu membantu pelajar-pelajar sebegini dengan membahagikan kerja sekolah mereka kepada bahagian yang senang diuruskan. Pelajar-pelajar ini cenderung bergantung kepada guru dan memerlukan maklum balas secara berterusan. Mereka akan belajar menguruskan tugasan apabila mereka menjadi lebih yakin.
            Beberapa program pemulihan bagi kanak-kanak berpencapaian rendah dapat dilakukan bagi mencapai tahap membantu pelajar agar berjalan dengan lancar dan mudah difahami oleh murid-murid. Program ini hendaklah ada kerjasama dari pihak ibu bapa, guru-guru, rakan sebaya, masyarakat dan sebagainya. Contoh program yang boleh dilaksanakan ialah :
v  Kelas tambahan kepada murid-murid di sekolah. Ibu bapa mestilah ada sifat komitmen menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan bagi membantu mereka.
v  Kursus keyakinan diri seperti kursus rakan sebaya dalam kursus motivasi pelajar tiga hari dua malam di kawasan sekolah.
v  Membuat pertandingan menulis cerita pendek di kalangan individu dengan menawarkan hadiah yang lumayan untuk pembakar semangat murid-murid agar berani dan bersemangat untuk belajar.
v  Membuat aktiviti kelompok membincangkan tajuk-tajuk yang diberikan dengan kerjasama diantara satu sama lain.
v  Mengadakan kuiz yang berkaitan pelajaran agar ingatan murid-murid kembali pulih untuk mengingat sesuatu benda yang memberikan menafaat.
v  Menanamkan kesedaran di kalangan pelajar dengan melekat poster-poster yang berbentuk kejayaan hidup di dunia mahupun akhirat.
Murid yang mempunyai pencapaian rendah hendaklah dibantu dengan segera agar ianya tidak berlarutan, supaya murid-murid tersebut merasai diri mereka masih lagi di sayangi oleh guru-guru, ibu bapa dan rakan sebaya. Kasih sayang yang diperlihatkan oleh guru-guru kepada murid-murid akan menambahkan keyakinan mereka untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan ingin berubah menjadi pelajar yang pintar yang boleh membanggakan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Guru-guru yang dapat berganding bahu bersama ibu bapa dapat memimpin mereka menjadi insan yang berguna di masa akan datang dan dapat berbakti kepada negara.


Rujukan
Internet

Buku
1. Mok Song Sang. Edisike-8. Terbitan pertama 2003 dan Terbitan kedua 2004.
            Pendidikan Di Malaysia. Kumpulan Budiman SDN BHD. Subang Jaya.
2. Atan Bin Long Ph.D. Cetakan Pertama (Edisi Keduan) 1978. Psikologi
            Pendidikan. Penerbitan adabi Sdn. Bhd.Kuala Lumpur.
3. Choong Lean Keow, PhD. Terbitan Pertama Dan Kedua 2008 dan Terbitan Ketiga
            2009. Pendidikan Di Malaysia. Kumpulan Budiman SDN BHD. Kuala Lumpur.
4. Mok Song Sang. Terbitan Pertama 2002. Psikologi Pendidikan. Kumpulan
            Budiman SDN BHD. Subang Jaya.
5. Babad, E., Bernieri, F., & Rosenthal, R. (1989). Nonverbal communication and
            Leakage in the behavior of biased and unbiased teachers. Journal

            Personality, Social

Tuesday, 21 June 2016

Faedah belajar secara berkumpulan

Faedah belajar secara berkumpulan 
Murid mempunyai cara yang tersendiri untuk mengulang kaji pelajaran mereka . Ada yang suka belajar di perpustakaan ,di rumah dan ada juga yang suka belajar secara bersendirian. Antara teknik belajar yang begitu popular dalam kalangan murid-murid sekolah pada masa sekarang ialah belajar dalam berkumpulan. Apabila ditanya tentang belajar secara berkumpulan, ramai orang mengatakan bahawa ia dilaksanakan bersama rakan-rakan. Terdapat juga yang mengatakan bahawa belajar secara berkumpulan hanya membuang masa sahaja. Pada pendapat saya, ini merupakan tanggapan yang salah. 
Belajar secara berkumpulan sebenarnya lebih berkesan berbanding dengan belajar secara bersendirian. Hal ini dikatakan kerana apabila belajar dalam kumpulan, idea dan pemikiran dapat dikongsi bersama. Contohnya, apabila sekumpulan murid sedang membuat kerja sekolah, setiap orang dalam kumpulan itu pasti akan mempunyai pendapat atau jawapan yang berlainan. Itulah sebab perkongsian pendapat dilakukan, supaya mereka dapat memilih jawapan yang paling sesuai. Dengan itu, murid-murid tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menjawab satu soalan. 
Selain itu, dengan belajar secara berkumpulan, ahli kumpulan tersebut haruslah mempunyai adab dan disiplin diri yang tinggi. Seperti yang saya katakan tadi, setiap orang akan mempunyai pandangan yang berlainan dan jika ahli-ahli dalam kumpulan tersebut tidak berdisiplin, mereka tidak akan dapat mengemukakan idea dengan teratur dan mereka pasti tidak akan dapat bersedia untuk berbeza pendapat dan ini akan menuju kepada perselisihan faham antara ahli-ahli dalam kumpulan tersebut. 
Kita juga boleh menjalinkan hubungan persahabatan melalui pembelajaran dalam kumpulan. Andaikan bahawa semua orang dalam kumpulan tersebut kenali satu sama lain, dan seseorang daripada kumpulan itu menjemput seorang yang baru dan tidak dikenali, mereka pasti akan memperkenalkan diri mereka agar ahli yang baru itu tidak terasa janggal 
Seterusnya, apabila belajar secara berkumpulan, biasanya setiap kumpulan akan mempunyai sekurang-kurangnya lima hingga enam orang ahli dan sekiranya dua orang daripada kumpulan itu tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu, itu tidak akan menjadi suatu masalah kerana masih terdapat empat orang ahli yang boleh bekerjasama untuk membincang dan menyiapkan kerja atau tugasan yang diberikan. 
Tambahan pula, belajar dalam kumpulan juga boleh mengurangkan perbelanjaan. Ini kerana dalam sesebuah kumpulan, kesemua ahli kumpulan itu pasti akan mempunyai buku latihan kepunyaan sendiri yang boleh dikongsi bersama untuk membuat salinan dan mereka tidak perlu bersusah-payah dan membazir duit untuk membeli buku yang sudah dimiliki oleh salah satu ahli kumpulan. 
Secara luaran dapat dilihat bahawa kumpulan dapat memberikan sumbangan yang besar jika dibandingkan dengan seorang. Secara ringkasnya, belajar secara berkumpulan banyak membantu jika dilaksanakan dengan betul

Thursday, 16 June 2016

keadah dan teori kefungsian atau konflik: Cara menangani isu pelajar yang gagal dan tercicir daripada meneruskan pembelajaran mereka

keadah dan teori kefungsian atau konflik: Caramenangani isu pelajar yang gagal dan tercicir daripada meneruskan pembelajaran mereka 

1.0 Pengenalan 
Perubahan dalam sistem pendidikan telah menyebabkan keperluan untuk meningkatkan prestasi murid berisiko di sekolah menjadi semakin penting supaya mereka tidak tercicir atau berpotensi untuk tercicir. Laporan UNICEF (2012) menganggarkan seramai 125,000 kanak-kanak di Malaysia masih tercicir dan tidak mendapat kerajaan bagi sekolah menengah dan sekolah rendah juga telah menurun. Bagi sekolah rendah, peratusan penyertaan sebanyak 94.42 peratus pada tahun 2011, telah menurun kepada 94.37 peratus pada tahun 2013. Di sekolah menengah pula, peratusan penyertaan sebanyak 86.63% pada akses kepada pendidikan menengah. Sementara itu, kira-kira 17,000 kanak-kanak Malaysia tidak meneruskan pengajian ke peringkat pendidikan menengah setiap tahun iaitu dari tahun 2005 hingga 2009. 
Laporan oleh Malaysia Millennium Development Goals (MMDG, 2010) menunjukkan bahawa murid di sekolah luar bandar lebih banyak tercicir, iaitu sebanyak 16.7%, berbanding murid di bandar, iaitu sebanyak 10.1%. Dalam hal ini, buku Perangkaan Pendidikan Malaysia (KPM, 2013) pula melaporkan bahawa kadar penyertaan murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan tahun 2011; juga menurun kepada 82.39% pada tahun 2013. Sungguhpun nilai peratusan penurunan adalah kecil, namun situasi ini tetap menjejaskan kualiti sistem pendidikan negara untuk terus berada setaraf dengan pendidikan berprestasi tinggi di negara-negara maju. 
Murid berisiko lebih cenderung untuk tercicir iaitu berhenti mengikuti persekolahan kerana pelbagai alasan tertentu yang memaksa mereka untuk berhenti sekolah (Ahmad, 2011). Menurut Ahmad lagi,, murid berisiko tercicir boleh dibantu dan dididik supaya mereka tidak tercicir menerusi bimbingan khusus dalam membentuk perkembangan konsep diri yang positif. 
Pandangan Ahmad sejajar dengan kenyataan Willis (2010) bahawa perkembangan murid menuju kedewasaan memerlukan perhatian pendidik secara bersungguh-sungguh. Menurut Willis lagi, konsep diri yang positif perlu diterapkan di peringkat awal remaja oleh pihak yang paling rapat dan sentiasa berada di persekitaran mereka menerusi pelbagai program kemahiran kehidupan atau life-skills. Life skills ialah set kemahiran yang dapat membantu murid remaja menangani isu ibu bapa, rakan, guru dan lain-lain berkaitan kehidupan yang mereka alami.

2.0 Apa Punca Pelajar Tercicir?
Ramai juga anak yang berjaya dalam akademik tetap berakhir dengan masalah akhlak. Walaubagaimanapun, hasil kajian kami menunjukkan kebanyakan anak yang tercicir dalam pelajaran dan tidak berjaya dibantu akan lebih mudah terjebak dengan masalah ini. Apabila mereka rasa tidak lagi mampu mengejar pelajaran, maka mereka jadi kecewa, putus asa lalu nekad mencampakkan terus semua agenda pembelajaran. Ini membuatkan jiwa dan masa mereka kosong lalu mencari alternatif lain untuk mengisinya. Di sinilah bermulanya segala gejala sosial.
Antara yang kami kesan punca keciciran di sekolah juga berpunca di rumah. Antaranya disebabkan kesilapan ibu bapa mengatur perjalanan hidup anak-anak ini sebelum ke sekolah. Ada ibu bapa yang kedua-duanya bekerja lalu mengabaikan kebajikan dan pemantauan terhadap pelajaran dan psikologi anak-anak mereka. Ramai anak-anak yang kenyang dengan maki hamun sejak bangun tidur sampailah ke sekolah. Tidak kurang juga yang disebabkan percakaran ibu bapa sepanjang masa, bahkan gangguan emosi anak hasil dari perpecahan rumahtangga.
Tekanan gaya hidup turut membuatkan ibu bapa juga memasuki kancah kompetetif lalu berlumba-lumba mencari nafkah dan status sosial. Ada yang terlajak sehingga mengejar kemewahan dengan mengikut kehendak nafsu, bukan lagi mencari keperluan. Lepas kerja sambung lagi dengan MLM meninggalkan anak terkonteng-konteng sendirian. Makan minum semua dijaga bibik dan mamak. Sila rujuk kisah anak kecil yang menangis ditinggalkan di kegelapan di pagar sekolah jam 6 pagi setiap hari persekolahan. Ketakutan anak ini juga salah satu sebab ia tercicir.
Ada juga yang berpunca di sekolah. Kelemahan para guru mengendalikan murid, khususnya kaedah mengenalpasti dan menangani murid yang lemah adalah antara punca keciciran. Gangguan emosi akibat dari rasa rendah diri, malu, bahkan sesetengahnya menjadi mangsa buli turut menjadi faktor keciciran yang perlu diperhatikan. Hari ini setiap sekolah ada beberapa kumpulan samseng dalaman sendiri. Bukan sahaja ugutan dan buli terhadap sesama murid, malah guru juga turut mendapat ancaman.
Hal ini mungkin berpunca dari satu masalah kecil yang berlaku tanpa disedari oleh para guru, penjaga atau ibu bapa pada satu ketika sahaja. Lama kelamaan masalah kecil itu membuatkan pelajar tertinggal dari mengikuti perkembangan pelajaran. Sikap berlumba-lumba dan kompetetif telah membuatkan pelajar ini ditinggalkan secara berlarutan lalu langsung tercicir.
Apa yang kami dapati dalam kes sebegini, kebanyakan ibu bapa dan para guru tidak sensitif dalam menilai situasi semasa anak dan murid mereka. Kebanyakan ibu bapa langsung tidak menyedari sejak awal. Mereka hanya tahu setelah keadaan anaknya parah. Rakan sebaya juga tidak mengendahkan masalah rakannya akibat dari budaya kompetetif lalu tidak kooperatif langsung terhadap rakan yang tercicir.
3.0 Langkah diambil membantu pelajar tercicir

3.1 Penyediaan asrama untuk membantu pelajar untuk mengelak daripada tercicir
Masalah aksesibiliti pelajar tercicir untuk mendapatkan pendidikan juga boleh diatasi atau sekurangkurang diminimumkan sekiranya setiap pihak berkuasa terbabit menyediakan asrama kepada pelajar berkenaan. Penyediaan asrama, sama ada di kawasan sekolah atau di luar tetapi berhampiran dengan sekolah, memudahkan pergerakan pelajar tercicir untuk ke sekolah. 
Namun begitu, ada sesetengah ibu bapa yang tidak mahu melepaskan anak mereka untuk tinggal di asrama. Hal ini menyebabkan ramai yang masih berulang-alik pada setiap hari untuk ke sekolah. Usaha menasihat dan merunding golongan ibubapa sebegini perlu dilakukan supaya dapat menerima perubahan demi masa hadapan anak-anak mereka. 
Contoh langkah kerajaan membantu pelajar tercicir orang asli.Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia boleh mewajibkan semua pelajar Orang Asli yang tinggal melebihi 10 KM dari sekolah untuk tinggal di asrama. Usaha keras daripada pihak sekolah perlu untuk memberi kesedaran, motivasi, ceramah dan taklimat tentang kebaikan menetap di asrama dalam usaha untuk mengubah sikap dan minda masyarakat Orang Asli terhadap kepentingan pendidikan. 
Pihak pengurusan sekolah dan guru-guru di sekolah yang mempunyai pelajar Orang Asli perlu mempunyai sikap lebih mesra terhadap mereka. Keprihatinan pihak pengurusan sekolah menyebabkan ibu bapa dan pelajar merasa diri mereka dihargai dan maruah mereka dijaga. Keprihatinan ini akan membentuk kesedaran dalam kalangan ibu bapa seterusnya mengubah persepsi untuk membenarkan anak mereka tinggal di asrama. 
Usaha ini seterusnya dapat meningkatkan tahap aksesibiliti pelajar untuk ke sekolah. Di samping itu, kemudahan infrastruktur dan prasarana asrama yang disediakan perlu dinaik taraf dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi menarik minat pelajar Orang Asli untuk tinggal di asrama. 
3.2 Pengajaran dan pembelajaran guru mesti lebih menarik oleh guru dapat membantu pelajar yang tercicir.

Untuk kepentingan dalam kecekapan pengajaran, pelajar perlu dikelaskan supaya semua pelajar mendapat manfaat dalam pelajarannya. Pengkelasan kemampuan membantu guru menyesuaikan teknik pengajaran mereka ke atas pelajar yang mempunyai pelbagai tahap. Sebagai contoh, guru boleh mengajar topik dengan lebih cepat atau lebih perlahan bergantung kepada keperluan pelajar. Guru-guru boleh menyesuaikan buku teks dan bahan pengajaran lain yang hampir dengan kemampuan pelajar berbanding dalam kelas gabungan. 
Pengaliran juga akan memberi ruang persaingan dalam kesamaan peluang yang diberikan. Persaingan yang adil dapat diwujudkan kerana pelajar dikumpulkan mengikut tahap kebolehan yang sama. Semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk menonjolkan diri dan memperlihatkan potensi masing-masing. Walaupun terdapat manfaat yang wujud menerusi sistem pengaliran, tetapi secara keseluruhannya sistem ini dilihat lebih banyak memberi kesan yang negatif terutamanya di kelas lemah. 
Ini kerana pelajar di kelas lemah sering dibeza-bezakan dari segi kemudahan pembelajaran di sekolah, layanan dan jangkaan guru-guru terutamanya dalam bidang akademik. Maka tujuan pengaliran yang dibuat untuk membantu pelajar tidak dapat dicapai sepenuhnya, sebaliknya menyebabkan terbentuknya subbudaya di kalangan pelajar yang dialirkan sama ada pro atau antibudaya sekolah. 


3.3 Peranan pentadbir sekolah
Murid berisiko tercicir merupakan kumpulan yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak supaya mereka tidak terus tercicir. Kajian oleh Mansor (2013) mendapati bahawa kebanyakan murid berisiko berasa kecewa dan menunjukkan tingkah laku negatif kerana berasa tidak dipedulikan. Mereka sedar bahawa mereka mempunyai terlalu banyak kekurangan dan mengambil pendekatan tidak alpa pada kehidupan kerana tidak mendapat sokongan di rumah dan sering pula diperlecehkan semasa di sekolah. 
Mereka mengaku memerlukan bantuan untuk membolehkan mereka ‘keluar’ daripada kategori murid berisiko tetapi tidak pasti bagaimana untuk melakukannya. Justeru, mereka amat memerlukan bantuan khususnya daripada pihak sekolah dan komuniti yang perlu bekerjasama untuk memenuhi keperluan kehidupan murid berisiko ini supaya mereka dapat bergerak seiring dengan murid yang lain. Sehubungan itu, tujuan utama kajian eksploratori ini ialah untuk mengenal pasti komponen kemahiran kehidupan yang diperlukan oleh kumpulan murid berisiko Tingkatan 1 dan 2 yang berpotensi tercicir daripada sistem persekolahan, dan pendekatan yang diambil oleh pihak sekolah untuk menangani isu berkaitan murid berisiko. 
Istilah berisiko bagi merujuk kegagalan akademik dan kegagalan di sekolah, berpotensi untuk tercicir, tidak mendapat pendidikan, dan di bawah pencapaian (Pallas, 1994). Pallas berpendapat bahawa murid berisiko ialah kumpulan murid yang terdedah kepada pengalaman pendidikan yang tidak cukup atau tidak sesuai sama ada di dalam keluarga, sekolah atau masyarakat. Christiansen dan Howard (2005) juga mentafsirkan murid berisiko sebagai kumpulan murid yang berpotensi gagal daripada sistem persekolahan yang berpunca daripada faktor lemah akademik, kerap ponteng, tiada keyakinan diri, dan kurang mendapat perhatian daripada keluarga.
Hari ini apabila anak tercicir dalam pelajaran, para guru jadi serba salah. Pihak sekolah, PIBG dan kementerian mendesak agar ditambah murid yang berjaya dalam akademik dengan cemerlang, yang mendapat ‘A’ untuk semua matapelajaran. Itu juga menjadi ukuran kepada prestasi kerjaya mereka. Kerana itu mereka terpaksa buat pilihan. Mahu tumpu pada yang lemah atau terus pacu anak yang berpotensi? Dan biasanya terpaksa memilih untuk ikut budaya kompetetif.Bila anak yang lemah sudah tertinggal dan tercicir, maka mereka akan putus asa dan mencampakkan kesemua takwim belajar. Mereka ini jadi kosong jiwanya dan ada terlalu banyak masa. Akibatnya, maka menularlah gejala sosial seperti gangsterism, buli, seks bebas, jenayah juvana dan sebagainya.
Walaupun kita selaku ibu bapa berikan rotan, sertakan dengan surat kuasa kepada para guru untuk membantu menghukum anak kita yang bermasalah, namun para guru tetap enggan melakukan sebarang hukuman. Peraturan sekolah dan kementerian tidak mengizinkan mereka. Akibatnya anak kita yang tercicir dan bermasalah tadi semakin menjadi-jadi tanpa hukuman yang membuatkan mereka serik.

3.4 Peranan ibu bapa
Sikap Ibu Bapa Menurut Sa’ibah (2000) ibu bapa adalah terlibat secara langsung dalam pendidikan anak-anak mereka. Peranan ibu bapa bukan sekadar menghantar anak-anak ke sekolah tetapi mereka harus peka kepada perkara-perkara yang boleh meningkatkan pembelajaran anak mereka, seperti menyediakan anak-anak dengan kelengkapan seperti buku-buku, membayar yuran, dan sebagainya. Perkara ini boleh berlaku sekiranya keluarga mempunyai sikap dan minat yang positif terhadap pendidikan anak-anak kecuali keluarga berkenaan menghadapi kekangan dari segi ekonomi. 
Mohd Noor (2000) menyatakan ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan anak ke sekolah tanpa berperanan sebagai sumber pengukuh terhadap pendidikan dan kepada perkara yang diamalkan dan digalakkan di sekolah. Ibu bapa perlu sedar bahawa jangka masa anak-anak berada di sekolah adalah singkat. Apa yang dapat di amalkan di sekolah, 5 di bawah didikan guru adalah terhad dan memadai. Masa anak berada di rumah adalah lebih lama. 
Oleh itu ibu bapa perlu terus mendorong dan mengalakkan anak mengamalkan apa yang dipelajari di sekolah ( Sa’ibah, 2000). ii) Minat Ibu Bapa Minat merupakan sesuatu yang abstark di mana ia merupakan sesuatu perilaku yang sukar untuk dinilai atau diukur secara objektif. Menurut Sufean (2006) minat merupakan keghairahan atau kegemaran untuk melakukan sesuatu perkara atau aktiviti yang akan menumpukan pada daya usaha, masa, pemikiran dan sumber-sumber bagi memenuhi keinginan minatnya. 
Ibu bapa perlu mempunyai minat ke atas pelajaran anak-anak seperti bertanya kepada anak-anak mereka sekiranya ada kerja sekolah yang diberikan oleh guru untuk disiapkan di rumah. Sekiranya mereka ada tugas yang perlu disiapkan, arahkan mereka untuk menyelesaikan kerja sekolah terlebih dahulu sebelum membuat kerja-kerja yang lain. Ibu bapa yang menunjukkan minat terhadap pembelajaran anak mereka akan menjadi inspirasi untuk anak mereka meminati sesuatu pembelajaran. ( Zainuddin, 2000). 


3.5  Penubuhan institut kemahiran : kolej komuniti, Giat Mara, IKM
Pelajar yang cicir daripada masuk ke university boleh dibantu dengan memberikan tawaran belajar di kolej komuniti, Giat Mara dan sebagainya. Di Malaysia, langkah kerajaan sedemikian rupa telah dapat membantu murid tercicir untuk melanjutkan pelajaran ke bidang teknikal. 

Penubuhan kolej komuniti di setiap daerah sangat banyak membantu murid yang tercicir untuk menlanjutkan pelajaran ke tahap yang sesuai dengan bidang yang ditawarkan.

Kerajaan telah memperuntukkan jutaan ringgit untuk membnatu pengurusan kolej komuniti berkenaan agar dapat membantu murid yang tercicir berkenaan.

3.6 Sekolah berdekatan dengan tempat kediaman 

Pembinaan sekolah di kawasan petempatan pelajar yang tercicir akan dapat membantu menangani masalah ini. Kita mengambil conoth orang Asli juga boleh dijadikan pilihan bagi meningkatkan tahap aksesibiliti mereka untuk ke sekolah. Dalam konteks Tapah, sebuah sekolah baharu wajar dibina terutamanya sekolah menengah untuk memberi peluang ketersampaian ke sekolah yang lebih tinggi kepada pelajar Orang Asli. 
Kedudukan kedua-dua sekolah yang sedia ada didapati agak jauh khususnya bagi mereka yang tinggal di Kg. Batu 7. Menempatkan sekolah yang berdekatan dengan perkampungan orang Asli dapat mengurangkan masalah ketakhadiran, lambat sampai dan ponteng sekolah. Di samping itu, untuk mengatasi masalah ketersampaian pelajar orang Asli, sekolah yang berkonsepkan Model Khas Komprehensif K9 sesuai diwujudkan di kawasan ini. 
Projek ini telah diperkenalkan di SK Bandar Baru 2, Paloh, Hinai, Pekan, Pahang dan Projek Sekolah Baling. Projek K9 adalah projek untuk memberi pendidikan kepada pelajar orang Asli selama sembilan tahun, iaitu enam tahun di sekolah rendah dan tiga tahun di sekolah menengah. Projek K9 ini adalah usaha bersungguhsungguh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk merealisasikan pendemokrasian ilmu pendidikan kepada semua kaum khususnya masyarakat orang Asli. 






Bibliografi
Ahmad Anuar, 2011. Aplikasi Pendekatan Fuzzy Delphi untuk membangunkan  pembelajaran kanak-kanak homeschooling menggunakan media interaktif. Jurnal  Kurikulum dan Asia Pasifik. 2 (3):18 (Non-ISI/Non-SCOPUS Cited Publication) 
Christiansen dan Howard ,2005. Homeschooling in Malaysia: The Impact on Teacher  emand-Supply, Regional Conference on Teacher Demand-Supply and Services:  enchmarking Quantity And Quality, 11-12 Jun 2005, PJ Hilton Hotel . Organize:  UM, UKM, UPSI & UPM 
Mansor Sulaiman, 2013 Pendidikan Reproduktif untuk kanak-kanak bermasalah  pembelajaran, International Conference on Education for All. 13 Disember 2013,  Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia
Pallas, 2004,  Homeschooling International Seminar of Strategy in Achieving  Education For All. 22 Oktober 2012. Faculty of Education and Teacher Traning  Gajah Madha University Yogyakarta, Indonesia
Sa’ibah binti Ibrahim,2000Satu Tinjauan Mengenai Pandangan Masyarakat Terhadap  eranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru Dalam Meningkatkan Pencapaian  Akademik Di Sekolah Menengah Dato’ Abdul Rahman Yaakub, Merlimau,  Melaka. Univerisiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda 

Sufean bin Mohamad  Zulkernain, 2006Penglibatan Ibu Bapa / Penjaga Dalam  Persatuan Ibu Bapa dan Guruguru (PIBG) Di Sekolah Kebangsaan Taman  Universiti 1, Skudai Johor. Univerisiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.