KAEDAH ATAU TEKNIK PENGAJARAN MURID BERMASALAH PEMBELAJARAN
Kaedah atau teknik pengajaran bagi murid bekeperluan khas perlulah sesuai dan mengikut keperluan keupayaan mereka. Oleh itu, bagi murid disleksia ini kaedah yang akan digunakan oleh guru adalah seperti berikut:
Kaedah Fonik
Kaedah ini merujuk kepada hubungan bunyi dengan huruf. Kaedah fonik sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Menurut kaedah ini, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ma + ta terus disebut sebagai [ ma ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ mata ].
Kaedah Cermin
Pendekatan ini menggunakan cermin sebagai bahan maujud dalam membantu guru mengajar murid disleksia. Kaedah ini memerlukan murid untuk berdiri di hadapan cermin dan guru akan menyebut huruf, suku kata ataupun perkataan kepada murid tersebut. Murid diarahkan untuk mengulang semula apa yang telah disebut oleh guru sambil memandang cermin. Semasa murid menyebut atau membunyikan perkataan tersebut, guru akan memerhati dan mendengar sebutan yang dilontarkan sama ada betul atau tidak selain melihat gerakan bibir murid tersebut. Ini adalah untuk melatih murid untuk belajar menyebut huruf, suku kata atau perkataan dengan cara yang betul. Sekiranya murid membuat kesilapan, guru akan menunjukkan cara menyebut yang betul kepada murid sambil menghadap cermin.
No comments:
Post a Comment